Sunday 29 March 2015

RUKYAH: FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KENAMPAKAN ANAK BULAN.

Menurut kamus dewan Bahasa dan Pustaka , rukyah bermaksud perbuatan melihat anak bulan untuk menentukan permulaan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah. Berdasarkan definisi fekah pula, rukyah ialah melihat anak bulan (hilal) selepas terbenammya matahari. Manakala menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang pula, rukyah ialah melihat anak bulan (hilal) pada 29 haribulan hijri dengan mata kasar atau dengan alatan optik seperti teodolit, binokular dan teleskop yang dikendalikan oleh individu yang mahir. Aktiviti ini dilakukan di lokasi cerapan masa. Sebelum penulis melanjutkan perbincangan, apakah yang dimaksudkan dengan anak bulan atau hilal? Anak bulan ialah bulan sabit selepas ijtimak yang pertama kali kelihatan atau kemungkinan kelihatan selepas matahari terbenam atau fasa bulan yang terawal boleh dilihat selepas ijtimak yang menunjukkan sebahagian kecil permukaan bulan yang bercahaya. Ia berbentuk lengkung dan ada cahaya halus seperti sabit. Berikut merupakan rajah anak bulan:

Anak Bulan 

Menjejaki anak bulan ini merupakan aktiviti yang telah dikukan sejak berkurun lamanya. Dengan rukyah, aktiviti seharian dan keagamaan lebih mudah dilaksanakan. Sesuai dengan  peredaran zaman, teknologi rukyah juga  telah berkembang dari hanya menggunakan mata kasar sehinggalah menggunakan alatan canggih seperti binokular, teleskop dan teodolit. Pengaplikasian rukyah ini telah berjaya membentuk satu kalendar tahunan yang bukan sahaja sangat memudahkan aktiviti seharian manusia malah turut membantu dalam aspek pengabdian diri kepada Allah SWT. Walau bagaimanapun, tugasan mencerap bukanlah suatu kerja yang mudah. Terdapat faktor-faktor yang perlu diambil kira bagi kejayaan kenampakan anak bulan. Selain daripada faktor fizikal bulan, perubahan atmosfera dan cuaca tempatan sangat mempengaruhi aktiviti pencerapan dan kenampakan anak bulan tersebut. Sekiranya langit berawan maka kecerahan langit berubah mengikut jenis awan. Namun, anak bulan berpotensi untuk dilihat jika cahayanya mampu menandingi kecerahan langit dan ketebalan awan. Kenampakan anak bulan juga dipengaruhi oleh cuaca tempatan. Semakin baik cuaca setempat semakin mudah anak bulan dilihat. Selain itu, perubahan formasi awan juga menjadi faktor penting kelancaran aktiviti rukyah dan kenampakan anak bulan. Secara umum, terdapat tiga tingkat awan iaitu awan rendah, awan sederhana dan awan tinggi. Awan yang berada ditingkat rendah ini dinamakan awan stratus. Awan ini padat dan bewarna kelabu. Awan pertengahan pula dinamakan altostratus dan altokumulus. Awan altostratus adalah awan yang lapisannya merata di langit. Manakala awan altokumulus ialah awan putih atau kelabu yang terpisah tetapi tersusun rapat antara satu dengan lain. Awan tinggi dikenali awan sirus, sirostratus dan sirokumulus. Awan diperingkat ini adalah awan nipis. Awan sirus, kumulus dan stratokumulus menunjukkan cuaca dikawasan itu baik dan berkemungkinan menampakkan anak bulan. Awan altostratus yang dikategorikan dalam awan sederhana akan menyebabkan cahaya matahari pudar. Walau bagaimanapun, anak bulan dengan fasa cahaya yang besar ini tetap berpotensi untuk dilihat. Berlainan dengan awan kumulusnimbus yang membawa hujan. Kewujudan awan ini bukan sahaja penghalang kenampakan anak bulan malah menyebakan aktiviti cerapan perlu diberhentikan. 

Formasi Awan 


Oleh itu, dapat difahami sifat awan sangat mempengaruhi aktiviti cerapan dan kenampakan anak bulan. Dengan pengetahuan sifat awan ini membantu pencerap menjangka masa yang sesuai dan tepat aktiviti mencerap dilakukan. Sekiranya cuaca baik maka tinggilah potensi kenampakan anak bulan. Jika cuaca tidak baik, maka rendahlah potensi anak bulan kelihatan.

No comments:

Post a Comment