Sunday 15 March 2015

Ilmu falak?

Ilmu falak ialah adalah sebahagian daripada ilmu sains tabii yang melibatkan pengkajian perjalanan cakerawala seperti bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang. Sebelum melanjutkan perkongsian ini, ayuh kita teliti maksud asal perkataan cakerawala dan falak. Menurut Encyclopedia of Islam perkataan cakerawala berasal dari bahasa Sanskrit yang bermaksud 'sesuatu badan yang berputar'. Perkataan falak pula berasal dari bahasa Sumerian iaitu pilak yang membawa maksud sesuatu yang berputar. Dalam bahasa Latin ilmu falak dikenali sebagai astronomi iaitu ilmu berkenaan bintang. Ilmu falak ini turut didefinisikan oleh beberapa tokoh Islam yang lalu seperti Al-Biruni, Ikhwan As-Safa dan Ibnu Khaldun. Namun penulis hanya ingin mengetengahkan definisi Ibnu Khaldun yang dilihat lebih menyeluruh berbanding yang lain. Ibnu Khaldun menyatakan ilmu falak sebagai ilmu yang mengajarkan tentang pergerakan tetap bintang-bintang, sama ada yang bergerak atau berpusing. Melalui cerapan dan hitungan, gerakan-gerakan tersebut boleh diketahui. Ilmu hitungan pula hendaklah berdasarkan pengetahuan tentang kriteria pergerakan dan kedudukannya. 





Ilmu falak ini awalnya telah digunakan untuk ketuhanan dan peyembahan yang melibatkan tentang untung nasib dan kehidupan. Namun dengan kedatangan wahyu dan kemajuan akal, ilmu ini digunakan unutuk mengenal pasti sistem pergerakan alam ini untuk digunakan dalam kehidupan manusia. Dengan kata lain, saintis Islam telah menjadikan zaman mereka sebagai peralihan daripada sains yang berunsur mitos dan tahyul kepada sains yang berunsur empirikal, eksperimental dan praktikal (Baharrudin Zainal, 2007). Penghasilan teknologi yang telah mengubah cara hidup manusia harini boleh dikatakan kesan daripada perkembangan ilmu falak yang berubah skopnya iaitu dari sains berkaitan objek di angkasa kepada skop yang berkaitan dengan fizik, biologi,pemetaan, pelayaran, kajicuaca dan seumpama dengannya.  Jika dilihat sejarah Islam, ahli-ahli falak Islam ketika itu bukan sahaja berkebolehan dalam mentafsir kandungan al-Qur'an dan Hadith yang berkaitan dengan alam semesta malah mereka juga ulama dalam bidang-bidang tertentu. Mereka telah mengkaji manuskrip peninggalan tamadun Yunani, Mesir, Farsi dan Hindu dan memperbaiki serta memperbaharui kajian-kajian zaman lampau hingga tercipta banyak sumbangan ahli falak Islam khususnya dalam bidang ini. Sejarah juga telah mencatatkan ilmu falak ini telah berkembang pesat ketika pemerintahan kerajaan Abassiyyah hingga kejatuhan empayar Islam semasa penaklukan kerajaan Mongol pada tahun 1258M. Namun atas inisiatif dan kesedaran umat Islam terkemudian, ilmu falak ini dilihat kembali bangkit. Hal ini kerana perkaitan antara ilmu falak dan aktiviti sosial umat Islam amat penting dan tidak boleh dipisahkan.  






No comments:

Post a Comment