Sunday 5 April 2015

SEJARAH PERKEMBANGAN ILMU FALAK DI MALAYSIA




Sebelum tahun 1967, ilmu falak syarie' di Malaysia hanya di usahakan oleh beberapa ahli falak biasa. Kebanyakan ahli falak tersebut terdiri daripada guru-guru sekolah agama dan sekolah pondok. Setelah datangnya Allahyarham Tuan Syeikh Mohamad Tahir Jalaluddin sebelum perang dunia kedua ke Malaysia, ilmu falak ini semakin berkembang di tanah air. Walau bagaimanapun, usaha yang di perkenalkan oleh Syeikh Mohamad Tahir ini mendapat tentangan dari ulama-ulama Malaysia ketika itu. Mereka berpendapat ilmu falak seakan-akan menyerupai ilmu nujum yang bersalahan di sisi syara'. Kesan penentangan tersebut telah menjatuhkan reputasi beliau sehingga menyingkirkan beliau dari golongan ulama Malaysia yang muktabar.

Walaupun begitu, menjelang tahun 1960-an ilmu falak khusunya falak syarie' telah kembali mendapat sambutan di kalangan masyarakat. Syeikh Mohamad Tahir telah menggunakan kesempatan hayatnya dengan mendidik dan menyampaikan ilmu falak syarie' kepada anak muridnya dengan begitu tekun. Setelah beliau meninggal dunia, usaha penyebaran ilmu falak syarie' telah diteruskan oleh anak didiknya. Lebih kurang seratus rencana berkaitan falak telah tersebar. Hasil penyebaran rencana ini, masyarakat dilihat lebih terbuka dalam memahami kepentingan ilmu falak kerana manfaatnya dalam perlaksanaan ibadah umat Islam di Malaysia. Selain itu, persepsi masyarakat mengenai ilmu falak dan ilmu nujum yang dikatakan sama telah berjaya dihapuskan sedikit demi sedikit.

Sehubungan itu, pada tahun 1969 satu jawatankuasa kecil rukyah dan kalendar Islam telah ditubuhkan oleh Pusat Islam Malaysia. Jawatankuasa ini telah berperanan dalam penentuan Ramadan dan Syawal di Malaysia. Setelah itu, bermulalah hubungan kerjasama antara negara Indonesia, Singapura dan Malaysia bagi membincang dan mendapatkan kata sepakat berkaitan penentuan puasa dan hari raya. Pada tahun 1974 pula, Pusat Islam telah menghantar rombongan ke Jakarta bagi membincangkan isu-isu berkaitan anak bulan. Pertemuan ini melibatkan lima orang wakil dari Malaysia, wakil dari Singapura dan ahli Falak Indonesia. Usaha mendalami dan menerapkan ilmu falak syarie' dalam kehidupan umat Islam di Malaysia diteruskan dengan penglibatan wakil Malaysia ke Persidangan Hilal Dunia Islam. Persidangan ini telah bersidang di Istanbul, Turki pada tahun 1978. Persidangan ini juga telah berbincang mengenai perkara dan masa terbaik dalam menentukan kenampakan anak bulan serta masa penentuan awal Ramadan dan hari raya.

Pada tahun 1979 pula, Pusat Islam telah meningkatkan usaha dalam memberi kefahaman kepada masayarakat Malaysia iaitu dengan mengadakan kursus-kursus berkaitan falak. Kursus ini terbuka pada wakil-wakil Jabatan Agama Islam dan orang awam yang ingin mendalami ilmu falak ini.

Berdasarkan sedikit penulisan berkaitan ilmu falak khusunya falak syarie' ini, penulis dapati kesan penyebaran nya dapat dirasai hingga kini. Seharusnya, ilmu falak ini wajar diperdalami lagi bagi meneruskan kesinambungan ilmu Islam. Penulis yakin masih banyak lagi ilmu-ilmu bukan sahaja berkaitan falak yang ditinggalkan ulama terdahulu masih belum diteroka sepenuhnya.


* Sumber: Koleksi Kertas Kerja Seminar Persatuan Falak Syarie' Malaysia.

No comments:

Post a Comment