Wednesday 18 November 2015

TUGASAN PEMBANGUNAN INSANIAH

NABILAH ABD SALAM
PSM 0094/14
PELAJAR SARJANA SAINS KEMASYARAKATAN
 (PENGURUSAN PEMBANGUNAN ISLAM)
UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

TAJUK: NILAI-NILAI KEMANUSIAN ATAU INSAN DALAM KISAH LASKAR PELANGI


PENDAHULUAN
Dalam mendepani arus kemodenan dan kemajuan dunia, nilai-nilai kemanusiaan atau nilai-nilai insan seperti sifat jujur, amanah, keadilan, kasih sayang, memenuhi  hak-hak kemanusiaan dilihat semakin diketepikan demi mencapai kepentingan material dan kekuasaan.  Hal ini menjadi lebih parah apabila nilai keagamaan tidak dijadikan sebagai satu bentuk model dalam kehidupan. Sebagai contoh berdasarkan sejarah penaklukan ekonomi dunia sejak tahun 1910, unsur penipuan dan penindasan menjadi kemestian dalam  meraih keuntungan. Dalam pada itu, wujud konspirasi  dalam menguasai ekonomi dunia oleh penjajah. Hal ini dibuktikan apabila ekonomi dunia kini majoritinya berunsur sistem riba yang semestinya adalah haram dalam Islam (Ezry Fahmi Eddy Yusuf, 2008). Kesan penjajahan ini bukan sahaja dilihat dalam ekonomi dunia malah dalam segenap aspek seperti politik, pendidikan, budaya dan sosial serta pemikiran masyarakat. Oleh itu, dalam entri ini penulis mengetengahkan kisah benar yang telah diadaptasi menjadi filem dan novel berjudul Laskar Pelangi yang penduduknya merupakan mangsa penjajahan. Berdasarkan kisah ini, beberapa nilai insan akan dianalisis dan dibahagikan pada tema-tema. Tema-tema tersebut ialah pendidik dan pelajar dalam pendidikan, institusi kekeluargaan dan masyarakat Belitong serta manusia sebagai pelaku pembangunan. Perbincangan penulisan ini dimulakan dengan sedikit sinopsis berkenaan Laskar pelangi. Laskar Pelangi mengisahkan sepuluh orang pelajar dan dua orang guru di Kampung Gantong, Belitong yang bersemangat mendidik anak didik mereka supaya berjuang dengan kemiskinan. Selain pembelajaran formal, mereka didik secara tidak langsung untuk membina harapan baru bagi masa depan dan taraf kehidupan kampung ini yang pada masa itu bergantung pada pertanian dan perusahaan bijih timah semata-mata (Wikipedia, 2015).

PENDIDIK DAN PELAJAR DALAM PENDIDIKAN
SD Muhammadiyah merupakan sebuah sekolah kampung yang telah dibangunkan oleh dua orang guru iaitu Harfan Efendy Noor yang sudah tua dan Muslimah Hafsari seorang wanita muda yang juga miskin namun cekal memberi pendidikan pada anak-anak kampung yang tidak berkemampuan. Jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah perusahaan negara timah yang diberi nama sekolah PN Timah, SD Muhammadiyah ini sangat jauh ketinggalan sama ada pada sudut silibus pelajaran malah kelengkapan prasarananya juga sangat daif. Bangunan sekolah ini seperti pondok buruk, ruang kelas kecil dan berlantaikan tanah, atapnya sudah banyak yang bocor, pelajar-pelajar ke sekolah dengan hanya pakaian yang compang-camping (Andre Hirata,2005). 



Guru yang mengajar juga tidak dapat dibayar gajinya namun pelajar-pelajar tetap diberikan yuran pelajaran secara percuma kerana kemiskinan mereka. Justeru, di sini terdapat beberapa elemen penting seorang guru dalam memastikan pendidikan tetap disampaikan walaupun dalam kesusahan. Antaranya ialah elemen keikhlasan, pengorbananan, kasih sayang, kecekalan dan kesungguhan. Dalam kecekalan Harfan dan Muslimah mendidik pelajar-pelajar miskin tersebut supaya berjiwa besar, tekun menuntut ilmu, tidak berputus asa, jujur dan berani menghadapi cabaran, mereka juga sentiasa menekankan tentang Islam dan keimanan dalam pembelajaran di sekolah. Hasilnya sekolah SD Muhammadiyah mampu melahirkan pelajar yang berpegang teguh pada agama Islam, pintar seperti watak Lintang dan mampu mengasah bakat beberapa pelajar lain serta pernah berjaya dalam beberapa pertandingan dengan sekolah-sekolah PN Timah.

INSTITUSI KEKELUARGAAN DAN MASYARAKAT BELITONG
Kesan eksploitasi timah di Belitong, kebanyakan masyarakat Belitong hanya percaya dengan pendidikan di sekolah PN Timah sahaja anak-anak kampung itu mampu belajar ke peringkat lebih tinggi. Oleh sebab itu kebanyakan masyarakat Belitong tidak dapat meneruskan pelajaran kerana kos pembiayaan pelajaran yang tinggi serta tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung keluarga. Akhirnya mereka bekerja sebagai buruh perusahaan timah di situ. Bagi sesetengah masyarakat pula yang tidak mahu terlibat dengan ekonomi timah lantaran mempunyai kaitan dengan pengesksploit, mereka lebih rela bekerja kampung seperti bertani dan menjadi nelayan. Selain itu, boleh dikatakan majoriti masyarakat Belitong telah dijajah pemikirannya dengan ideolagi hanya dengan sistem sekular kehidupan akan menjadi lebih baik. Hal ini dapat dilihat dalam dialog kisah Laskar Pelangi ini yang apabila pelajar-pelajar SD Muhammadiyah ini melintas di tengah-tengah masyarakat kampung, terdapat suara-suara yang menyarankan supaya berhenti sahaja dari bersekolah di SD Muhammadiyah kerana kononnya pembelajaran di SD Muhammmadiyah tidak akan mampu melahirkan pelajar yang berjaya.

MANUSIA SEBAGAI PELAKU PEMBANGUNAN
Dalam prinsip kedua prinsip berteraskan Islam iaitu manusia sebagai pelaku pembangunan telah menyatakan manusia mampu menjadi hamba Allah seperti yang telah dijanjikan sejak alam roh (Mohd Syukri Salleh, 2003). Hal ini dicapai apabila iman dan nafsu dapat dikawal kearah kebaikan, maka anggota tubuh akan terhindar dari maksiat (Nik Nur Syuhada Nik Abdullah, 2015). Apabila manusia terhindar dari dosa maka barulah manusia itu menjadi hamba Allah yang sebenarnya dan dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah Allah dibumi dengan baik. Pembangunan yang dijalankan adalah untuk manusia bukannya manusia untuk pembangunan atau dalam kata lain manusia bukan alat pembangunan. Berbeza dalam kisah Laskar Pelangi ini, manusia atau penduduk Belitong tidak dianggap seperti manusia yang satu. Mereka dikerah demi mengaut keuntungan perusahaan timah untuk kepentingan pemerintah dan pihak berkuasa. Di sini dapat dilihat bahawa apabila keinginan (nafsu) tidak didorong dengan tingkatan iman, maka timbullah perbuatan maksiat iaitu penindasan kepada golongan yang lemah. Dalam laskar pelangi juga menceritakan tentang pemerintah atau pihak berkuasa di Belitong telah mengekspoitasi hasil bumi Belitong untuk keuntungan peribadi yang seharusnya menjadi hak milik penduduk Belitong. Hasilnya, golongan atasan ini mempunyai taraf hidup yang jauh lebih mewah berbanding kebanyakan penduduk kampung yana taraf hidupnya rendah dan miskin. Golongan bawahan ini tidak diberikan hak yang sepatutunya atas kemiskinan mereka malah terus ditindas dan dipandang rendah oleh orang-orang kaya pada masa itu.

Justeru, di sini pemimpin di Belitong pada waktu itu tidak memainkan peranannya sebagai khalifah Allah dengan sebaiknya. Seharusnya, penduduk kampung yang miskin ini dibela, diberi bantuan dan diringankan beban kehidupan yang ditanggung. SD Muhammadiyah yang sudah uzur itu juga tidak diberi bantuan pendidikan yang cukup serta tidak diberi peruntukan infrastruktur yang sewajarnya supaya satu-satunya sekolah Islam di situ mampu bergerak seiring dengan sekolah-sekolah PN Timah yang lain. Walau bagaimanapun, peranan hamba dan khalifah Allah telah ditunjukkan oleh Harfan dan Muslimah serta beberapa keluarga pelajar-pelajar SD Muhammadiyah. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, Harfan dan Muslimah melaksanakan tugas pendidik dengan cekal dan penuh amanah. Mereka berjaya mendidik pelajar-pelajar ini hingga ada yang mampu melanjutkan pelajaran di luar negara dan menjawat jawatan tinggi. Dalam kisah Laskar Pelangi ini terdapat satu watak pelajar pintar iaitu Lintang. Walaupun Lintang tidak dapat meneruskan pelajaran untuk menyara keluarga namun atas didikan yang berkesan oleh Harfan dan Muslimah apabila beliau dewasa, semangat untuk memajukan kehidupan dan menuntut ilmu telah diturunkan pada anaknya. Di sini peranan bapa sebagai ketua keluarga dan pelaku pembangunan yang sebenar ditonjolkan dalam kisah Laskar Pelangi.

PENUTUP
Kisah laskar pelangi ini berjaya menunjukkan nilai-nilai kemanusian atau insan yang baik dalam penceritaannya seperti dalam watak Harfan, Muslimah, pelajar-pelajar SD Muhammadiyah dan beberapa watak lagi. Nilai-nilai seperti inilah merupakan aset penting bagi pembentukan insan yang berakhlak mulia. Walau bagaimanapun tidak kurang juga terdapat unsur-unsur negatif yang turut dipamerkan. Antaranya adalah watak penduduk kampung yang memandang rendah pada pendidikan di SD Muhammadiyah, golongan atasan iaitu pemerintah, pihak berkuasa dan orang-orang kaya yang menindas golongan bawahan yang miskin. Unsur-unsur ini merupakan sifat mazmumah yang mesti dihindar dan dijauhi bagi melahirkan insan yang sempurna akhlaknya untuk kebaikan dunia dan akhirat. 



RUJUKAN
Andre Hirata (2005). Laskar Pelangi. Diakses dari http://sinopsisnovelku.blogspot.my/2013/02/sinopsis-novel-laskar-pelangi.html pada 17 November 2015.

Ezry Fahmy Eddy Yusof (2008). Kronologi Pendustaan dan Penjajahan Ekonomi Global.  Diakses dari http://ibnyusof.blogspot.my/2008/08/kronologi-pendustaan-dan-penjajahan.html pada 16 November 2015.

Muhammad al-Bahi (1988). Langkah-langkah Wanita Islam Masa Kini, Jakarta:Gema Insani    Press.

Muslihah Mazlan (2012). Prinsip 2: Manusia Sebagai Pelaku Pembangunan. Diakses dari http://muslihahmazlan.blogspot.my/2012/06/prinsip-2-manusia-sebagai-pelaku.html pada 17 November 2015.

Nik Nur Syuhada Nik Abdullah (2015). Analisis Manusia dalam Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Diakses dari http://ibnyusof.blogspot.my/2008/08/kronologi-pendustaan-dan-penjajahan.html pada 17 November 2015.

Sidek Baba (t.t). Acuan Minda, Kuala Lumpur: Alaf Baru