Sunday 22 March 2015

ISU-ISU BERKAITAN FALAK.



Dewasa ini, sering kali terlihat di dada-dada akhbar dan media alternatif tentang isu-isu berkaitan falak dan penentuan bulan-bulan ibadah. Hal ini berlaku kerana kurangnya kesedaran dan pengetahuan masyarakat tentang ilmu falak ini. Di sini penulis ingin berkongsi beberapa isu berkaitan falak yang melibatkan dalam dan luar negara. Pertama isu penentuan hari raya korban pada tahun 2000 dan 2001. Isu ini dibangkitkan oleh segolongan masyarakat yang mempertikaikan perisytiharan rasmi kerajaan Malaysia yang dilakukan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia adalah tidak sama dengan negara Arab Saudi. Golongan ini juga telah bertindak untuk mengikut perisytiharan yang dilakukan kerajaan Arab Saudi. Isu lain yang berkaitan ialah isu penentuan awal Syawal 1432H di Malaysia berbeza dengan negara-negara berdekatan. Timbul juga isu yang mengatakan ada kemungkinan negeri Sabah dan Sarawak menyambut awal Syawal berlainan tarikh dengan negeri-negeri di semenanjung Malaysia. Walau bagaimanapun isu ini telah dijelaskan oleh  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). 

JAKIM telah menerangkan kaedah yang diguna pakai di Malaysia an negara lain adalah tidak sama dan standard. Selain daripada faktor matla' negara yang berbeza, JAKIM juga menyeru rakyat Malaysia khususnya agar mematuhi perisytiharan yang dilakukan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Selain itu, melalui kertas kerja yang dibentangkan Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992 mengesyorkan agar kajian semula dibuat bagi kaedah penetatapan Aiduladha. Pada waktu itu, kaedah penetapan Ramadan, Aidilfitri dan Hari raya adalah berbeza. Penentuan hari raya Aidiladha pada waktu itu adalah berpandukan hari wukuf manakala Ramadan dan Syawal bepandukan kaedah rukyah dan hisab. Kajian tersebut mendapati antara negara-negara serantau, hanya Malaysia yang menggunakan kaedah penentuan hari raya Aidiladha berpandukan hari wukuf. Alasan pengkajian semula juga adalah kerana penentuan berkenaan tidak bersandarkan nas-nas malah hanya bertujuan untutk menyesuaikan tarikh sambutan dua negara. Rentetan daripada kajian ini,kaedah penentuan hari raya Aidiladha di Malaysia telah diselaraskan dengan kaedah penentuan Ramadan dan Syawal.     

Berdasarkan beberapa isu yang diketengahkan, penulis mendapati masyarakat masih memerlukan penjelasan dan penerangan lebih mendalam tentang ilmu Falak,kepentingan dan implikasinya. Hal ini penting bagi menjernihkan kecelaruan dan kekeliruan serta kesalah fahaman tentang perkara-perkara yang melibatkan ibadah secara umunya. Oleh itu, perlaksanaan ibadah dapat diplikasikan dengan sebaik mungkin.
















No comments:

Post a Comment