Sunday 12 April 2015

HISAB?



Hisab di sudut bahasa bermaksud perhitungan. Menurut Farid Ruskanda (1996:29), dalam bahasa Arab, hisab juga bermaksud hitungan atau perhitungan. Chairul Zen (2006:3) juga mengatakan hisab bermaksud menghitung manakala ilmu hisab adalah pengetahuan tentang selok belok perhitungan atau aritmetik. Secara khususnya, hisab membincangkan perkiraan ijtimak, kedudukan hilal bagi setiap awal bulan kamariah, waktu solat dan perkiraan arah kiblat. Seterusnya, Jabatan Mufti Pulau Pinang pula menyatakan hisab sebagai cara hitungan dan pengiraan falak untuk menentukan posisi dan fizikal objek cakerawala terutamanya anak bulan atau hilal. Seperti yang diketahui umum, istilah hisab ini digunakan dalam ilmu falak bagi mengetahu kedudukan Matahari dan bulan dengan bumi. Pentingnya untuk mengetahui kedudukan matahari ini kerana ia dirujuk dalam penentuan masuknya waktu solat. Posisi bulan pula dihitung untuk mengetahui waktu terjadinya hilal dalam penentuan bulan hijrah. Pendapat lain mengatakan, selain menghitung waktu terjadinya ijtimak, hisab bertujuan untuk mengira bulan-bulan kamariah terutama yang berkaitan dengan bulan ibadah. 




Dr Yahya Syami dalam bukunya Ilmu Falak Safhat min at-Turats al-Ilmiy al-Arabiy wa al-Islamiy (1997) mendapati ilmu hisab berkembang dalam dua fasa waktu iaitu fasa pra-Islam (tamadun Mesir Purba, Mesopotamia, Cina, India, Perancis dan Yunani) dan fasa Islam. Ketika fasa Islam, telah berlaku proses penterjemahan karya-karya tamadun Yunani ke bahasa Arab. Proses ini bukan sahaja diterjemah malah telah menyebabkan munculnya teori-teori baru. Pada fasa inilah muncul tokoh-tokoh Islam dalam falak iaitu Al-Khawarizmi, Abu Ma'syar al-Falakiy, Abu Raihan al-Biruni dan beberapa lagi tokoh terkenal. Pada waktu itu karya baru ilmuan Islam ini telah mendapat perhatian pemikir-pemikir Eropah lalu diterjemah ke bahasa Latin dan bahasa Inggeris. 




Berbalik pada perbincangan penulis iaitu berkenaan hisab, terdapat beberapa kaedah hisab dalam penentuan kedudukan bulan, matahari dan makhluk cakerawala yang lain. Antaranya ialah hisab urfi, hisab taqribi, hisab tahqiqi, hisab haqiqi tahqiqi dan hisab kontemporari. Dalam entri kali ini, penulis tidak bercadang untuk menerangkan secara mendalam tentang jenis-jenis hisab tetapi hanya berkongsi tentang penggunaannya secara ringkas. Hisab urfi dan taqribi diguna secara manual iaitu dengan hanya memasukkan data-data yang telah ditulis dalam kitab ilmu falak tulisan ulama'-ulama' terdahulu. Manakala hisab haqiqi dan kontemporari menggunakan sistem operasi komputer (software). Caranya hanya memasukkan angka seterusnya menghasilkan keputusan. Misalnya, beberapa variable akan dimasukkan ke dalam sistem sebelum menghasilkan waktu ijtimak. Penggunaan software ini menyerupai SPSS, Mandeley dan yang sewaktu dengannya.


Contoh keputusan hasil penggunaan hisab haqiqi dan komtemporari.


Berdasarkan penulisan ini, penulis dapati mendalami ilmu hisab juga penting. Hal ini kerana ilmu hisab dilihat mempunyai peranan yang besar dalam aktiviti sosial manusia terutamanya bagi umat Islam di sudut tuntutan ibadahnya.


Rujukan:


1.Wikipedia
2.https://mutiary.wordpress.com/2010/12/01/metode-hisab-dan-metode-rukyat/ 
3.http://muslim.or.id/fiqh-dan-muamalah/metode-hisab-wujudul-hilal-dan-imkanur-ruyah.html


   



No comments:

Post a Comment