Sunday 3 May 2015

Perkembangan Rukyah dan Hisab: Satu Sorotan

Dalam entri kali ini, penulis ingin berkongsi satu sorotan tentang perkembangan rukyah dan hisab. Melalui penelitian penulis, terdapat tiga kajian berkaitan perkembangan rukyah dan hisab ini iaitu kajian Mohammaddin Abdul Niri, Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, Khadijah Ismail, Raihana Abdul Wahab & Nurul Huda Ahmad Zaki (2012), Ebrahim Moosa (2012) dan Mohd Anuar Ramli, Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, Mohammaddin Abdul Niri, Mohammad Aizat Jamaludin dan Saadan Man (2013). Kajian Mohammaddin Abdul Niri et.al, (2012) membincangkan perkembangan rukyah dan hisab berlaku sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Namun pengkajian beliau pada bahagian ini meliputi pendapat beberapa ulama dan tokoh seperti Sheikh Ahmad Shakir, Yusuf al-Qaradawi, Mustafa Ahmad al-Zarqa dan beberapa orang lagi. Kesemua ulama ini mempunyai pendapat yang serupa iaitu membenarkan penggunaan hisab sekiranya anak bulan tidak kelihatan pada hari ke 29 Hijrah dengan kaedah rukyah. Hujah ini dikuatkan lagi oleh Ahmad Shakir dalam kajian Ebrahim Moosa (2012), semasa zaman pra-Islam dan zaman awal Islam, masyarakat Arab sememangnya tidak mengetahui akan pengetahuan saintifik dalam astronomi, malah mereka merupakan golongan yang buta huruf. Pengetahuan astronomi mereka ketika itu terbatas hanya pada cerapan, laporan dan lisan, tidak didasarkan pada peraturan matematik dan bukti empirikal.

Dalam kajian Ebrahim Moosa (2012), Ahmad Syakir menyatakan dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW, baginda memperkenalkan kalendar Islam yang  memenuhi keperluan ibadah dan sifatnya mudah difahami oleh semua orang ketika itu, iaitu mencerap anak bulan dengan menggunakan mata kasar. Kesannya, kaedah ini diguna pakai sehingga ke hari ini.  Apabila masyarakat sudah mampu mempelajari hisab yang lebih jelas dan yakin sifatnya dalam penentuan kenampakan anak bulan, mereka boleh bergantung pada kaedah ini. Hal ini kerana penyebab jatuhnya hukum rukyah iaitu buta huruf sudah tidak wujud apabila masyarakat sudah pandai mengira.

  Sebuah kajian lagi yang menyentuh berkenaan rukyah dan hisab iaitu kajian Mohd Anuar Ramli et.al, (2013). Kajian Mohd Anuar Ramli et.al, membincangkan kepentingan nilai saintifik dan peranannya dalam penentuan awal Ramadan dan hari raya di Malaysia. Analisis kajian Mohd Anuar Ramli et.al, (2013) ini mendapati penggunaan rukyah semata-mata adalah tidak memadai memandangkan faktor cuaca negara yang kerap berubah. Oleh itu, pelaksanaan kriteria imkannur-rukyah yang digunakan di Malaysia pada waktu ini adalah relevan untuk penyusunan kalendar kamariah. Ditambah lagi, pendekatan imkannur-rukyah tentang kaedah hisab adalah penting bagi mengukuhkan kesaksian rukyah. Melalui dapatan ini, Mohd Anuar Ramli et.al (2013), nilai saintifik tersebut berupaya membantu ulama menghasilkan keputusan pengaplikasian kaedah rukyah dan hisab yang lebih kukuh dalam penentuan awal bulan hijri. Pendekatan ini telah diguna pakai sehingga kini.

Didapati kefahaman dan tafsiran tentang rukyah dan hisab adalah berbeza mengikut zaman dan peredaran masa. Walau bagaimanapun, dalam meraikan perbezaan pendapat, garis yang dipandu al-Qur'an dan Hadith tidak boleh diketepikan. Dengan itu, pemahaman sebenar dalam mentafsir dalil-dalil berkaitan rukyah dan hisab bukan sekadar untuk memenuhi kehendak dan keperluan ummah malah sebagai tanda patuh dan taat padaNya seperti yang dipandu syarak.





Rujukan:

Ebrahim Moosa (1998). Syaykh Ahmad Shakir & The Adoption of A Scientifically-Based Lunar                   Calendar, dlm Islamic Law & Society, Cape Town: Brill. 

Mohammaddin Abdul Niri,Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, Khadijah Ismail, Raihana Abdul Wahab& Nurul Huda Ahmad Zaki (2012). Kesan Penggunaa Hitungan Astronomi dan Alatan Moden dalam Cerapan Hilal di Malaysia: Satu Penelitian, Jurnal Fiqh (9), 45-64.

Mohd Anuar Ramli, Mohd Saiful Anwar Mohd Nawawi, Mohammaddin Abdul Niri, Mohammad Aizat Jamaludin dan Saadan Man (2013). Pengambilkiraan Nilai Saintifik semasa dalam penentuan awal bulan Ramadan dan Syawal di Malaysia, dlm: Dimensi Penyelidikan Astronomi Islam. Jabatan Fiqh & Uul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, hlmn 105-120.

No comments:

Post a Comment